Wednesday, 4 April 2018

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN

Kepentingan Semangat Kejiranan dalam Kehidupan Bermasyarakat
Kata-kata hikmat 'jiran sepakat membawa berkat' jelas menunjukkan kepentingan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Huraikan kepentingan semangat kejiranan dalam kehidupan bermasyarakat.

          Semangat kejiranan merupakan aspek yang penting dalam kehidupan. Ianya perlu diterapkan dalam diri dan seluruh masyarakat. Jiran perlulah mempunyai semangat dalam menjadikan sesebuah masyarakat yang lebih baik. Kita perlu memelihara semangat kejiranan kerana ianya dapat mengukuhkan lagi ukhuwwah dalam sesebuah masyarakat. Bermula daripada semangat kejiranan inilah terjalinnya perpaduan yang teguh. Perpaduan yang teguh menjadi dasar pembangunan negara ke arah yang lebih baik serta mencapai status negara maju. Jiran Sepakat Membawa Berkat, kata-kata ini menunjukkan bahawa kesepakatan dalam masyarakat dapat menghasilkan sesuatu yang baik. Semangat kejiranan mempunyai banyak kepentingan kepada masyarakat. Apakah kepetingan-kepentingan tersebut?

          Semangat kejiranan dapat melahirkan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Masyarakat yang mengamalkan sifat yang baik seperti tolong-menolong, saling bertegur sapa dan menjaga keselamatan masyarakat dapat mewujudkan satu suasana yang tenang dan aman. Masyarakat harus melakukan perkara yang baik mengekalkan keamanan yang terpelihara. Tamsilan yang jelas dapat dilihat dalam aktiviti bergotong-royong, masyarakat sentiasa menghulurkan bantuan antara satu sama lain dalam membersihkan kawasan perumahan. Hubungan jiran bagai aur dengan tebing dapat meningkatkan lagi semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat. Sejajar dengan hal ini, masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan harmoni.

          Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih cekap dalam melaksanakan sesebuah program. Hubungan mereka amat akrab dan boleh meningkatkan ramai kenalan dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar dengan bantuan ramai pihak. Jika masyarakat bertindak bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sesuatu pekerjaan atau program tidak dapat dilaksanakan dengan cekap. Contohnya, jiran membantu jiran yang lain dalam mengadakan kenduri dengan bersama-sama menyediakan makanan untuk tetamu dan mendirikan khemah untuk para tetamu. Lantaran itu, pekerjaan dapat diselesaikan dengan mudah. Bukan itu sahaja, hubungan yang erat dapat diwujudkan ketika melakukan pekerjaan bersama-sama. Masyarakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

          Di samping itu, masyarakat juga boleh memupuk semangat perpaduan. Semangat kejiranan yang mantap dapat mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan perpaduan yang teguh. Perpaduan juga sama pentingnya seperti semangat kejiranan. Kehidupan negara Malaysia memerlukan perpaduan yang teguh. Hal yang demikian, Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan agama. Negara kita dikagumi seluruh dunia kerana mempunyai perpaduan yang erat. Perkara ini dapat dibuktikan dengan kehadiran bangsa Melayu, Cina, India dan bangsa lain dalam sesebuah masyarakat. Setiap kaum perlu mengetahui adat dan tradisi kaum lain untuk mengelakkan daripada menimbulkan isu sensitif. Semangat kejiranan yang mantap dapat mengelakkan situasi ini daripada berlaku kerana hubungan yang erat antara kaum. Oleh itu, masyarakat perlu mempunyai semangat kejiranan yang tinggi supaya dapat mewujudkan perpaduan yang teguh.

          Seterusnya, semangat kejiranan dapat menjadikan sesebuah kawasan itu selamat. Kawasan perumahan perlu ditingkatkan keselamatannya supaya keamanan dalam sesebuah masyarakat terjamin. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik sering berlaku dalam kawasan perumahan. Masyarakat harus meningkatkan keselamatan kawasan tersebut untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Masyarakat boleh menubuhkan persatuan jiran tetangga dengan membuat rondaan pada waktu malam. Dengan itu, keselamatan penduduk terjamin. Ibu bapa akan berasa lebih senang melepaskan anak-anak bermain di sekitar kawasan perumahan. Kejadian seperti mencuri, merompak dan menculik dapat dielakkan dan dikurangkan. Kesimpulannya, kesepakatan masyarakat dalam membuat sesuatu perkara dapat meningkatkan tahap keselamatan sesebuah masyarakat.

          Semangat kejiranan dalam sesebuah masyarakat dapat menarik minat pelancong untuk datang bercuti di Malaysia. Malaysia yang mempunyai perpaduan yang teguh akibat semangat kejiranan masyarakat pelbagai kaum menarik minat warga asing untuk melihat sendiri perpaduan kaum tersebut. Pelancong memerhati sikap masyarakat Malaysia yang baik dan mempunyai hubungan yang erat antara kaum mengagumkan mereka. Semangat kejiranan yang mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni dan aman sejahtera dapat meningkatkan lagi ekonomi Malaysia dengan kedatangan pelancong. Oleh itu, semangat kejiranan bukan sahaja bertumpu kepada sesebuah masyarakat tetapi ianya juga mendatangkan kebaikan kepada negara.
       
          Secara kesimpulannya, terdapat banyak kepentingan yang diperoleh daripada semangat kejiranan. Semangat kejiranan amat penting dalam melahirkan masyarakat harmoni, suasana yang aman dan perpaduan yang teguh. Kepentingan semangat kejiranan membawa kebaikan kepada diri masyarakat dan negara. Masyarakat yang maju dalam semua aspek seperti rohani, intelektual dan adab dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju. Untuk mencapai Wawasan 2020, kerjasama semua pihak amat digalakkan supaya dapat merealisasikan perkara ini. Semangat kejiranan yang rapuh tidak menjamin keamanan negara dan memerlukan kesepakatan rakyat Malaysia seperti Jiran Sepakat Membawa Berkat. Oleh itu, semangat kejiranan amat penting dalam kehidupan bermasyarakat.

#30 ADAB BERJIRAN

30 ADAB BERJIRAN

Hari ni saya nak kongsi 1 artikel yang penting. Ianya semakin dilupai. Ianya semakin menghilang sedikit demi sedikit. Ianya semakin tidak diamalkan dalam masyarakat kita hari ini.
Mengapa adab-adab berjiran ini semakin dipinggirkan? Sedangkan inilah yang agama kita (ISLAM) ajar untuk kita amalkan? Adakah kerana kita semakin moden, maka adab-adab ini sudah menjadi tidak relevan lagi? Benarkah begitu?

Adakah manusia hari ini begitu sombong, angkuh dan hanya pentingkan diri saja?
Kita tak perlu tengok orang lain. Cuba renung dan nilaikan diri sendiri. Sejauh manakah yang kita telah amalkan adab-adab ini?

30 Adab Berjiran Yang Mesti Diamalkan


  • (1)  Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat menghormati antara satu sama lain. Antara caranya dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim.Sentiasa bertoleransi samada yang melibatkan urusan keagamaan,adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.

  • (2)  Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Rasul SAW pernah bersabda; “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya:
“Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab :
” Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“ Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman(selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)

(3)  Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.
(4)  Sentiasa merendahkan diri dan berlemah-lembut dengan mereka dan mengelak diri dari bersikap takbur.  
(5)  Sentiasa bersedia memberikan sebarang bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan.  
(6)  Menyayangi mereka seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.  
(7)  Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadapi sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kejiwaan, kesihatan,pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra dan lebih akrab.  
(8.)  Tidak memandang rendah dan saling menghina sesama jiran, sebaliknya hendaklah sentiasa hormat menghormati dan harga-menghargai,termasuklah menghargai dan berterima kasih terhadap apa jua pemberian,khidmat dan pertolongan yang diberikan.  
(9)  Mengutamakan jiran yang terdekat rumahnya dengan rumah kita.Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kita, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran :  
  1. Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim.
  2. Jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak seorang Muslim.
  3. Jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.
(10)  Sentiasa berusaha mewujudkan suasana aman, damai, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah SAW menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.
(11)  Sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri jiran, termasuklah terhadap isterinya,anak-anaknya, harta bendanya dan lain-lain lagi.  
 (12)  Elakkan sikap terlalu suka mengambil tahu hal ehwal peribadi dan keluarganya, kecuali setelah mereka sendiri mengadu untuk mendapatkan bantuan kita untuk menyelesaikannya.  
 (13)  Bantulah mereka apabila mereka ditimpa kesusahan dan mala petaka,agar hati mereka menjadi tenang dan tenteram.  
 (14)  Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, perabut baru, kelahiran anak baru, mendapat menantu dan sebagainya.  
 (15)  Elakkan dari memerhatikan barangan atau apa sahaja yang dibeli atau yang dibawa pulang ke rumahnya.  

(16)  Tidak cuai untuk menyeru mereka kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dengan cara yang paling berhikmah.
 (17)  Sentiasa bersabar di atas segala perlakuan buruk yang dilakukan oleh jiran, sebaik-baiknya kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memaafkan segala kesalahan dan kesilapan dan tidak membalas segala kejahatan tersebut, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.  
 (18)  Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri mereka.  
 (19)  Menziarahi mereka ketika mereka sedang sakit.  
 (20)  Mengurus jenazah mereka setelah mereka meninggal dunia.  
 (21)  Tidak menghebahkan segala kesalahan, keaiban dan kesilapan jiran.  
 (22)  Memberikan segala bentuk bantuan yang mereka perlukan.  
 (23)  Berlemah-lembut dengan anak-anaknya jiran.  
 (24)  Menjaga keselamatan rumah atau anak-anak mereka, ketika mereka tiada di rumah.  
 (25)  Mengucapkan tahniah ketika terjadi peristiwa tertentu, terutama ketika mereka memperolehi kebaikan dan kurniaan dari Allah.  
 (26)  Mengucapkan takziah ketika mereka ditimpa malapetaka dan bencana.  
 (27)  Tidak membina bangunan yang tinggi sehingga menutup laluan angin ke dalam rumahnya, kecuali setelah mendapat restu dan izin darinya.Jangan menyusahkan mereka, seperti meletakkan sesuatu yang boleh menghalang laluan ke rumah mereka.  
 (28)  Tidak menyakiti mereka melalui bauan enak dari masakan yang kita masak dari rumah kita. Digalakkan agar kita memberikan sedikit daripada masakan tersebut untuk mereka nikmati.  
 (29)  Menghadiahkan mereka dengan buah tangan yang kita beli.  
 (30)  Sentiasa mendoakan keselamatan dan kebahagian jiran  
 Petikan dari  :  “Bimbingan Mukminin” (Imam Al-Ghazali)

Saya menyeru kepada semua (terutamanya kepada diri saya sendiri) untuk kita sama-sama cuba amalkan adab-adab berjiran ini. Kalau tak dapat amal semua pun, amalkan setakat mana yang kita boleh.Yang penting, AMAL. Bukan setakat tahu dan faham

KONSEP JIRAN TETANGGA DI DALAM ISLAM

Konsep Jiran Tetangga Di
Dalam Islam

Berdasarkan kamus dewan, jiran adalah orang yang berada dekat dengan rumah yang lain. Jiran juga bermaksud tetangga, orang sebelah, orang sekampung, teman; berjiran: bertetangga, berhampiran, sebelah-menyebelah, berdekatan, sekampung, sedesa, setempat; kejiranan: kemuafakatan, kerjasama, kesepakatan.
Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah.
Seperti sabda Rasulullah SAW;
“Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga.”
Hadis Riwayat Daud
Ini menunjukkan bahawa walaupun jarak dari rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, tetap dikira sebagai jiran tetangga. Dengan itu, setiap individu perlu memelihara hak-hak jiran demi memenuhi tuntutan agama, selain menjaga hubungan silaturahim dan ketenteraman sejagat.
Jadi, bagaimana adab berjiran menurut Islam?

1# Tidak Menyakiti Jiran

Sebagai jiran, seseorang itu mestilah menjauhi segala perbuatan yang tidak disenangi oleh jiran tetangganya. Perbuatan tersebut seperti mencuri, membuat bising, memfitnah, membuang sampah berdekatan dengan rumah jiran sehingga menimbulkan bau busuk.
Sabda Rasulullah SAW;
“Tidaklah masuk syurga orang yang tetangganya tidak aman kerana gangguannya.”
Hadis Riwayat Muslim
Dengan itu, sangatlah rugi bagi golongan yang beriman kepada Allah tetapi bersikap buruk terhadap jirannya. Jadi, berlemah-lembutlah terhadap jiran, jangan meninggikan suara, menegur jiran-jiran dengan ucapan salam dan senyuman, sentiasa bersangka baik, menerima teguran jiran atas kesilapan sendiri dan lain-lain hal yang menjaga ketenteraman kejiranan.

2# Menjaga dan Mengambil-berat Terhadap Jiran

Lebih bertanggungjawab jika seseorang itu menjaga kepentingan jiran-jirannya dengan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran dan perhatian. Bermula dari amalan ni akan melahirkan masyarakat yang berkasih-sayang.
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya agar sentiasa mengambil-berat sesama saudara seislamnya.
“Barang siapa yang menolong saudaranya yang lain maka Allah akan menuliskan baginya tujuh kebaikan bagi setiap langkah yang dilakukannya.”
Hadis Riwayat Thabrani
Jika terdapat jiran yang sakit atau ditimpa ujian, ziarahlah mereka dan hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan. Selain itu, selalu bertanya khabar akan kesihatan jiran-jiran.
Oleh itu, sedikit sebanyak, seseorang itu perlu mengetahui akan pekerjaan dan cara kehidupan jiran-jirannya. Ini bukanlah untuk ‘menjaga tepi kain orang’ tetapi sebagai seorang ahli masyarakat yang bertanggungjawab dan benar-benar mengenali jirannya.

3# Berbuat Baik Dan Memelihara Keamanan Dengan Jiran

Melakukan kebaikan terhadap jiran termasuklah dengan memberi buah tangan atau bertukar pemberian, sehinggalah kepada ucapan takziah atau tahniah atas apa-apa berita berkaitan.
Lakukanlah perkara dan usaha selagi tidak melanggar akidah dalam berbuat baik kepada jiran tetangga. Jika setiap jiran berusaha untuk menjaga hati jiran masing-masing, pasti kawasan kejiranan tersebut sentiasa aman dan tenang menjalani kehidupan seharian.
Sesungguhnya sesiapa yang mengembirakan jirannya akan digembirakan pula oleh Allah SWT.
“Barang siapa memberikan kegembiraan kepada seorang mukmin, maka Allah akan memberikan kegembiraan kepadanya pada hari kiamat.”
Hadis Riwayat Ibnu Mubarak
Oleh itu, Muslim yang menyedari serta memahami hukum-hukum agama, pasti orang yang paling baik dalam menjaga hubungannya dengan jiran-jirannya. Bahkan akan sentiasa menghormati dan menimbulkan ihsan apabila berinterasi.

#4 Memuliakan Jiran

Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya agar memulia dan menghormati jiran seperti melayan kaum keluarga sendiri. Sabda Baginda;
“Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.”
Hadis Riwayat al-Bukhari
Perbuatan memuliakan jiran ini termasuklah mengurus dan mengiringi jiran yang meninggal dunia sehingga ke tanah perkuburan.


Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan hubungan silaturahim dan pertalian sesama manusia, selain menuntut umatnya bercampur gaul dan bermasyarakat. Dengan itu, menghormati jiran adalah penting demi kebaikan dan persaudaraan.
Ini termasuklah jiran yang bukan beragama Islam; sebagai cabang dakwah bahawa Islam adalah agama yang menganjurkan kemesraan dan tidak gemarkan perpecahan.
Sesungguhnya umat Islam yang menyedari dan memahami hukum-hukum agama adalah yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya.